Ahad, 21 Ogos 2011

Buddha Jepun: Biografi Kukai I

Terjemahan ke bahasa Melayu oleh Northern Gate

Zaman Muda

Patung kayu Kukai

Kukai dilahirkan pada tahun 774 di daerah Zentsu-ji dalam wilayah Sanuki di pulau Shikoku. Keluarganya merupakan ahli keluarga orang besar Saeki, dari puak Otomo. Ada sedikit kemusykilan pada nama kelahirannya iaitu Toutomono yang bermaksud yang berharga disimpan dalam satu rekod manakala dalam rekod lain pula direkodkan namanya sebagai Mao atau ikan sebenar. Dalam pengajian moden, nama Mao sering digunakan merujuk kepada nama kelahirannya.

Kukai dilahirkan dalam zaman perubahan politik yang penting sekali dengan maharaja Kanmu (781-806) cuba untuk memperluas kuasa dan mempersatu negara. Baginda mengambil langkah seperti memindahkan ibu kota Jepun dari Nara ke Heian yang kini berada dalam Kyoto. Zaman kecil Kukai tidak banyak diketahui umum. Pada usia 15 tahun, beliau mula menerima pendidikan Cina Klasik di bawah pantauan bapa saudara sebelah maknya. Pada masa itu, puak Saeki-Otomo menjalani hukuman kerana tuduhan bahawa ketua puak mereka iaitu Otomo Yakamochi bertanggungjawab dalam pembunuhan saingan mereka, Fujiwara Tanetsugu.

Keluarga itu hilang tuahnya pada tahun 791 semasa Kukai mengembara ke Nara iaitu ibu kota untuk belajar di universiti kerajaan iaiti Daigakuryou. Pelajar biasanya dipilih berdasarkan kedudukan keluarga. Biografi Kukai memberi pendapat bahawa Kukai menjadi tidak berminat dengan pengajian Konfucius sebaliknya menjadi lebih berminat dengan pengajian Buddha.

Semasa usianya 22 tahun, Kukai diperkenalkan dengan amalan Buddha melibatkan montra Bodhisatva Akasagarbha (Kokuzou). Semasa zaman ini, Kukai selalu lah bertapa seorang diri di gunung dan kawasan terpencil membaca montra Akasagarbha tanpa jemu. Meningkat usia 24 tahun, beliau menerbitkan karya tulisan berjudul Sansou Shiiki yang memetik sumber-sumber bacaan yang banyak termasuklah kitab-kitab klasik Konfucius, Tao, dan Buddha. Kuil-kuil di Nara dengan perpustakaan besar mereka ada menyimpan teks-teks ini.

Semasa zaman ini dalam sejarah Jepun, kerajaan pusat menyebarkan ajaran Buddha melalui jawatan hal-ehwal kesamian atau 僧綱 sougou dan menguatkuasakan dasar-dasarnya berdasarkan sistem Ritsuryou. Orang alim dan sami-sami bebas seperti Kukai selalunya dilarang daripada menyebarkan ajaran kerana tak ada tauliah dan mereka hidup di luar undang-undang merayau-rayau di luar kota atau dari kuil ke kuil.

Semasa zaman Kukai mengamalkan amalan Buddha secara persendirian, beliau bermimpi tentang seorang lelaki muncul di hadapannya. Lelaki tersebut memberitahunya di mana tempatnya untuk mendapat Sutra Mahavairocana yang mengandungi ajaran yang dicari-cari oleh Kukai selama itu. Walaupun tidak lama selepas itu Kukai berjaya mendapatkan satu salinan sutra tersebut yang ketika itu baru sahaja sampai ke Jepun, beliau menghadapi masalah juga. Kebanyakan isi sutra tersebut tidak diterjemahkan dan masih berada dalam bentuk bahasa Sanskrit bertulisan Siddham. Selain itu, beliau mendapat bahawa sutra tersebut sangat kabur. Kerana Kukai tak berjumpa sesiapa yang boleh membantunya memberi penerangan tentang teks sutra tersebut, beliau membuat keputusan untuk ke empayar China bagi mempelajarinya di sana. Profesor Abe berpandangan bahawa Sutra Mahavairocana menjadi penghubung antara minat Kukai dengan amalan senaman keagamaan dan pengetahuan ajaran yang diperolehi dari pengajiannya.

Mengembara dan Belajar di China

Kepercayaan Cui Zi Yu

Sekitar tahun 804, Kukai mengambil bahagian dalam ekspedisi ditaja kerajaan ke empayar China bagi mempelajari lebih lagi tentang Sutra Mahavairocana. Sejarawan semua tidak lah pasti mengapa Kukai terpilih mengikuti misi rasmi kerajaan ke China, sedangkan latarbelakangnya lebih kepada orang perseorangan dan bukan sami yang ditauliahkan oleh negeri. Maka wujud teori bahawa ia mungkin ada kaitan dengan puak Saeki-Otomo atau hubungannya dengan sami-sami yang berkaitan dengannya atau ahli puak Fujiwara.

Ekspedisi itu disertai lapan bijik kapal, dengan Kukai menaiki kapal yang pertama. Sami lain yang terkenal iaitu Saichou berada dalam kapal kedua. Semasa ribut petir di lautan, kapal ketiga berpatah balik semula ke Jepun. Kapal keempat hilang di laut. Manakala kapal yang dinaiki oleh Kukai tiba beberapa minggu kemudian di wilayah Fujian. Penumpang kapal dilarang masuk ke pelabuhan manakala kapal mereka disita. Kukai yang fasih bahasa Cina menulis sepucuk surat kepada gabenor wilayah menerangkan hal-ehwal mereka. Jadi gabenor wilayah membenarkan kapal tersebut berlabuh dan mereka disuruh meneruskan perjalanan ke ibu kota di Chang An (Xian) ketika itu merupakan pusat kepada dinasti Tang.

Selepas kelewatan yang berlaku, istana dinasti Tang memberikan tempat kepada Kukai di kuil Ximing untuknya belajar ajaran Buddha Cina serta pelajaran bahasa Sanskrit dengan pandit Prajna Gandharan (734-810) yang mendapat pendidikan di universiti Buddha, Nalanda di empayar India.

Pada 805, Kukai akhirnya bertemu dengan sami Huiguo (746-805). Orang ini yang akan melantik Kukai masuk ke dalam tradisi Buddha rahsia di biara Qinglong di Chang An. Huiguo berasal dari salasilah guru-guru Buddha yang terkenal dengan usaha penterjemahan teks Sanskrit ke bahasa Cina termasuklah Sutra mahavairocana. Kukai memberikan gambaran pertemuan pertama mereka:

"Ditemani Jiming, Tansheng, serta beberapa orang guru Dharma lain dari biara Ximing, aku melawatnya dan dibenarkan melihat-lihat. Sebaik sahaja dia melihat aku, dia tersenyum dan berkata dengan wajah yang manis, "sejak mendengar tentang ketibaan mu itu, aku sudah tidak senang duduk menunggu. Alangkah indahnya pertemuan hari ini! Hidup ku sudah tidak lama lagi dan aku masih belum ada seorang pun anak murid untuk memindahkan Dharma ini. Sediakan segera sembahan colok dan bungaan bagi kemasukan mu ke abhisheka mandala jangan bertangguh lagi."

Huiguo segera mengurniakan Kukai tahap pertama abisheka atau kenaikan ke pelajaran rahsia. Walaupun Kukai dijangkakan akan mengambil masa selama 20 tahun belajar di China, tetapi dalam masa beberapa bulan sahaja beliau sudah mendapat kenaikan terakhir dan menjadi guru bagi salasilah rahsia. Huiguo dikatakan memberi gambaran bahawa mengajar Kukai seperti menuangkan air dari satu pasu ke pasu yang lain menunjukkan betapa mudahnya mengajar beliau. Tak lama selepas itu, Huiguo meninggal dunia. Sebelum itu, Huiguo ada berpesan bahawa Kukai mesti pulang ke Jepun dan menyebarkan ajaran rahsia tersebut di sana dan menyatakan kepada Kukai bahawa anak murid lain akan meneruskan kerjanya di empayar China.

Kukai tiba semula di Jepun tahun 806 sebagai Bapa Kelapan Ajaran Buddha Rahsia, dengan pengetahuan bahasa Sanskrit dan tulisan Siddham serta ditauliahkan dengan ajaran Buddha India. Selain itu, beliau ada juga belajar tulisan kaligrafi Cina serta puisi dengan guru-guru yang bertauliah di China. Beliau tiba juga dengan teks-teks yang banyak dan baru-baru lagi sebelum itu tak pernah ada di Jepun. Semuanya bersifat rahsia dan rohaniah. Di samping itu ada juga teks berkenaan bahasa Sanskrit dan tulisan Siddham.

Semasa ketiadaan Kukai, maharaja Kanmu mangkat lah sudah digantikan dengan maharaja Heizei. Maharaja Heizei tidak minat lah dengan ajaran Buddha. Kepulangan Kukai dari China sebenarnya merupakan zaman malap bagi Saichou yang merupakan pengasas aliran Tendai yang pada zaman maharaja lalu mendapat perlindungan istana. Saichou sudah mempunyai upacara rahsia yang disahkan oleh istana sebagai sebahagian aliran Tendai serta sudah menjalankan upacara abhisheka bagi pihak istana semasa ketibaan Kukai dari Jepun. Malangnya maharaja Kanmu mangkat maka Saichou mula lah menghadapi masalah untuk penyebaran ajaran Buddha menurut aliran Tendai.

Saichou ada meminta Kukai untuk memberikannya abhisheka awal pada tahun 612. Kukai bersetuju lalu memberikannya juga abhisheka tahap kedua. Tetapi abhisheka terakhir yang membolehkan Saichou menjadi guru aliran Buddha rahsia, Kukai enggan memberikannya kerana Saichou tidak menyempurnakan pelajaran yang diperlukan. Hal ini membawa kepada pertikaian yang tak selesai sehingga membawa juga kepada pertikaian antara aliran shingon dan tendai.

Tak banyak yang diketahui tentang aliran Kukai sehingga lah tahun 809 apabila istana memberi maklum balas terhadap laporan Kukai berkenaan pengajiannya yang juga mengandungi senarai teks dan benda-benda lain yang dibawa pulang bersamanya selain petisyen kepada kerajaan supaya menyokong pengasasan aliran Buddha rahsia baru di Jepun. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Katalog Barangan Import merupakan percubaan pertama Kukai untuk membezakan ajaran Buddha dalam bentuk baru berbanding dengan ajaran Buddha yang telah diamalkan di Jepun sebelum itu. Pihak istana memberi maklum balas dengan arahan supaya berpenempatan di Takaosan yang kemudiannya dikenali sebagai Kuil Jingo-ji di luar kota Kyoto. Kawasan ini kemudian menjadi pusat kepada Kukai untuk 14 tahun kemudiannya. Tahun 809 juga menyaksikan persaraan maharaja Heizei dari jawatan maharaja kerana penyakit dan digantikan oleh maharaja Saga. Maharaja Saga memberikan sokongan penuh kepada Kukai dan bertukar-tukar puisi serta kurniaan dengannya.

Kemunculan Dari Kekaburan

Tahun 810, Kukai muncul sebagai tokoh umum apabila beliau dilantik menjadi ketua kepada pentadbiran Toudai-ji iaitu kuil utama bagi Nara serta menjadi 僧綱 Sougou atau Ketua Sami Diraja. Tak lama selepas kenaikan ke takhta, maharaja Saga menderita penyakit teruk. Sementara baginda pulih, bekas maharaja iaitu Heizei mula melakukan pemberontakan yang memaksa kerajaan untuk memadamkannya dengan kekuasaan tentera.

Kukai membuat permohonan kepada maharaja supaya membenarkannya menjalankan upacara rohaniah yang dikatakan membolehkan maharaja menghapuskan tujuh jenis ketidaktenangan, mengekalkan empat musim dengan aman, melindungi negara dan keluarga, serta memberi ketenangan kepada maharaja serta orang lain. Maharaja Saga membenarkannya. Sebelum itu juga, kerajaan memang bergantung kepada sami-sami dari aliran tradisional di Nara untuk menjalankan upacara seperti membacakan Sutra Cahaya Keemasan bagi mengukuhkan kerajaan. Permohonan Kukai ini menandakan pencapaian baru pula bagi aliran tradisi rahsia rohaniah Buddha pula yang memainkan peranan dalam upacara istana.

Dengan upacara abhisheka awam untuk Saicho dan yang lain-lain di Takaosan pada 812, Kukai kemudian dikenali sebagai guru ajaran Buddha rahsia di Jepun. Beliau mengasaskan susunan bagi pengikutnya menjadi satu gerakan rohaniah dengan tanggungjawab pentadbiran, penjagaan, dan pembinaan dalam kuil serta tatacara kebiaraan. Tahun 813, Kukai menggariskan matlamatnya dan amalan dalam satu dokumen yang dipanggil sebagai Garis Panduan Konin. Pada ketika itu juga lah, Kukai menyempurnakan banyak karya-karya pengasasan aliran Shingon di Takaosan misalnya seperti:
  • Mencapai Pencerahan dalam Hayat Ini
  • Makna Suara, Bunyi dan Hakikat
  • Makna Perkataan Huum
Semua karya ini dikarang pada tahun 817. Rekod ada menunjukkan bahawa Kukai begitu sibuk menulis puisi, menjalankan upacara, dan mengarang bacaan upacara kematian serta permintaan peringatan roh si mati. Popularitinya juga meningkat di istana dan melebar luas ke seluruh negara.

Sementara itu, ajaran rahsia baru oleh Kukai serta sasteranya ini menimbulkan persoalan juga bagi seorang sami terpelajar yang agak disegani ketika itu dikenali sebagai Tokuitsu. Tokuitsu menulis surat kepada Kukai sehingga tahun 815 meminta penjelasan tentang semua itu. Timbul pula perbualan antara mereka dalam surat yang terbukti membina dan membantu memberi Kukai lebih kredibiliti. Dalam pada itu, sekolah-sekolah ajaran Buddha di Nara mula berminat dengan amalan Buddha rahsia yang diperkenal oleh Kukai ini.

Kompleks Biara Gunung Kouya

Sami-sami membawa sembahan makanan kepada Kukai atau Kobo Daishi kerana mereka percaya beliau tidak mati pun tetapi sedang bertapa. Mereka memberi semahan makanan kepadanya dan menukar pakaiannya setiap hari. Hanya sami tertinggi sahaja dibenarkan melihatnya.

Tahun 816, maharaja Saga menerima permintaan Kukai untuk membangunkan satu kawasan kebiaraan di Gunung Kouya sebagai cara untuk keluar dari duniawi. Tapak tanah itu dirasmikan pada pertengahan tahun 819 dengan upacara yang berlangsung tujuh hari lamanya. Namun, Kukai tidak dapat tinggal di situ kerana menerima arahan istana untuk bertindak menjadi penasihat kepada setiausaha negara. Maka beliau memberikan kepercayaan projek tersebut kepada anak murid tuanya. Dari surat-menyurat Kukai, didapati bahawa pengumpulan dana bagi projek pembinaan kawasan tersebut mula mengambil banyak masa Kukai, dan masalah kewangan memang melanda mereka. Projek tersebut memang tidak siap sehingga lah Kukai meninggal dunia pada tahun 835.

Kukai mendapat gambaran bahawa Gunung Kouya akan menjadi perlambangan kepada dua mandala yang membentuk asas kepada aliran Buddha Shingon. Lembangan tengah sebagai alam janin kepada mandala manakala puncak-puncaknya serta sekeliling kawasan tersebut sebagai kelopak-kelopak bunga teratai yang terletak di tengah-tengah. Ia dikenali sebagai mandala berlian dalam bentuk sebuah kuil yang akan dinamakan olehnya sebagai Kongoubu-ji atau Kuil Puncak Berlian. Di tengah kompleks kuil itu ada sebuah rupa besar bagi Buddha Mahavairocana yang memberikan perlambangan kepada Hakikat Mutlak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan