Isnin, 22 Ogos 2011

Buddha Jepun: Biografi Kukai II

Terjemahan ke bahasa Melayu oleh Northern Gate

Surat Kukai kepada Saichou disimpan di Kuil Tou-ji

Kerja Umum Kukai

Tahun 821, Kukai mengambil tugasan kejuruteraan awam membangunkan semula empangan yang bertahan sehingga hari ini. Kepimpinannya membolehkan projek yang sebelum ini bertangguh-tangguh disiapkan dengan lancar dan kini menjadi punca pula kepada kisah-kisah lagenda yang mengelilingi tokoh ini. Tahun 822, Kukai melaksanakan upacara abhisheka untuk bekas maharaja Heizei. Tahun itu juga, sami Saichou meninggal dunia.

Zaman Tou-ji

Meja sembahan untuk Kukai di Kuil Tian Hou di Taipe, Taiwan

Apabila maharaja Kanmu memindahkan ibu kota pada tahun 784, baginda tidak membenarkan orang-orang berkuasa beragama Buddha dari kuil Nara untuk mengikutnya. Baginda memberikan tugasan kepada dua kuil baru iaitu Tou-ji (Kuil Timur) dan Sai-ji (Kuil Barat) yang mengisi jalan masuk di sebelah pintu selatan kota untuk melindungi ibu kota dari pengaruh buruk. Walau bagaimanapun, hampir 30 tahun lah kuil-kuil tersebut tidak sempurna dibina. Tahun 823, maharaja Saga memerintahkan Kukai untuk berada di kawasan projek kerja awam serta mengambil alih projek pembinaan Tou-ji. Maharaja Saga memberikan kebebasan kepada Kukai untuk mentadbir Tou-ji yang membolehkan beliau menjadikan kuil tersebut sebagai pusat pertama bagi ajaran rahsia Buddha di Kyoto. Hal ini juga membolehkan beliau menjadi lebih rapat dengan istana serta kuasa istana.

Maharaja baru iaitu Junna (823-833) juga cenderung ke arah aliran Kukai. Baginda memberi perkenan kepada permohonan Kukai bersama dengan pembesar keagamaan Buddha untuk menyerahkan satu dokumen yang menggariskan kepercayaan, amalan, dan kepentingan teks dalam bentuk aliran Buddha Shingon. Dalam perisytiharan diraja maharaja Junna, Kukai diberikan kebenaran untuk menggunakan aliran rahsia Shingon sebagai garis panduan pembentukan ajaran Buddha negara. Maharaja Junna menggunakan istialh 真言宗 shingon-shuu yang membawa maksud aliran shingon untuk pertama kalinya. Satu lagi perisytiharan diraja juga dikeluarkan yang memberikan hak kepada Kukai menggunakan kuil Tou-ji untuk aliran shingon sahaja berbeza dengan sebelumnya semua aliran Buddha dibenarkan menjalankan upacara di kuil-kuil kerajaan. Kuil Tou-ji juga dibenarkan untuk mengekalkan 50 orang sami dan melatih mereka menurut aliran shingon. Ini merupakan langkah terakhir dalam pengasasan aliran shingon sebagai pergerakan Buddha yang bebas dengan asas institusi yang kukuh disertai dengan kebenaran dari kerajaan. Shingon menjadi aliran dan gerakan yang sah di empayar kemaharajaan Jepun.

Tahun 824, Kukai dilantik dengan rasmi untuk projek pembinaan kuil. Tahun yang sama juga, beliau dilantik menjadi sami diraja menjaga hal-ehwal kesamian. Jawatan tersebut ada empat semuanya dengan seorang Sami Besar memegang jawatan kehormat. Jawatan itu selalunya kosong.

Ketua bagi Sougou adalah 大僧都 Daisouzu atau Ketua Pengarah Sami. Kukai dilantik memegang jawatan 小僧都 Shousouzu atau Pengarah Kecil Sami. Tambahan pula, ada jawatan 律師 Rishshi atau Guru Vinaya yang bertanggungjawab dalam memantau kod-kod kebiaraan serta tatacara kesamian.

Di Tou-ji, sebagai tambahan kepada kondou atau dewan utama akan ada beberapa bangunan kecil di dalam tapak kuil itu. Kukai menambah bilik kuliah pada tahun 825 yang dibina berdasarkan prinsip aliran Buddha Shingon. Ia turut mengandungi 14 rupa Buddha. Tahun 825, Kukai dijemput menjadi guru kepada putera mahkota. Tahun 826, beliau memulakan pembinaan candi atau pagoda di Tou-ji yang mana beliau tak sempat melihat ia disiapkan. Pagoda yang ada sekarang di Tou-ji dibina semasa zaman Shogun Tokugawa Iemitsu tahun 1644. Tahun 827, Kukai dilantik menjadi Daisouzu dengan pentauliahan menjalankan upacara negara, upacara untuk maharaja dan juga keluarga diraja.

Pada tahun 828, Kukai membuka Shugei Shuchi-in atau Sekolah Seni dan Sains. Sekolah ini merupakan sekolah swasta yang terbuka kepada semua orang tidak mengira taraf kehidupan. Ia berlawanan dengan sekolah lain di ibu kota yang hanya terbuka kepada orang kelas atasan. Sekolah itu mengajarkan pengetahuan Tao dan Konfucius di samping ajaran Buddha. Ia juga menyediakan makanan percuma kepada pelajar-pelajar. Makanan percuma penting kerana orang miskin tak mampu menampung kehidupan dan menghadiri kuliah di sekolah tanpa makanan. Sekolah itu ditutup kemudiannya selepas kematian Kukai. Ia dijual untuk membeli bendang sawah untuk menampung urusan kebiaraan.

Hampir Ajal

Kukai menyiapkan karya agungnya 十住心論 Juujuushinron bermaksud Surat Tentang 10 Tahap Pembangunan Minda sekitar tahun 830. Kerana terlalu panjang, kitabnya ini tidak dapat diterjemahkan penuh ke bahasa lain. Hanya ada rumusan pendek sahaja tentangnya dalam 秘蔵宝鑰 Hizou Houyaku yang bermaksud Kunci Bernilai Untuk Khazanah Rahsia yang menyusul tak lama selepas penulisan kitab itu.

Tanda awal penyakit yang membawa kepada kematian Kukai muncul pada tahun 831. Beliau meminta untuk bersara tetapi maharaja menolak permintaannya itu. Sebaliknya maharaja memberikannya cuti sakit. Hingga penghujung tahun 832, Kukai pulang ke Gunung Kouya dan menghabiskan sisa hidupnya di sana. Tahun 834, beliau meminta perkenan istana untuk membangunkan kuil kecil shingon di situ bagi tujuan upacara memohon perlindungan untuk kerajaan. Permohonan ini diperkenan oleh istana dan upacara shingon dimasukkan sekali dalam kalender rasmi istana. Tahun 835, dua bulan sebelum kematiannya, Kukai memohon untuk melantik tiga orang sami shingon di Gunung Kouya dari istana. Bilangan sami yang dilantik memang dipantau ketat oleh kerajaan. Ini membawa maksud yang Gunung Kouya mula menjadi kompleks biara tajaan kerajaan berbanding sebelumnya hanya kompleks persendirian.

Apabila hampir ajal, beliau berhenti makan dan minum. Beliau hanya bertapa sahaja. Pada tengah malam 21hb tiga tahun 835, beliau meninggal dunia pada usia 62 tahun. Maharaja Nimmyou (833-859) menyampaikan ucapan takziah kepada Gunung Kouya dan menyatakan rasa kesalnya tidak dapat menghadiri upacara pembakaran mayat sami itu kerana masalah hendak sampai ke kawasan Gunung Kouya yang terpencil itu. Walau bagaimanapun, Kukai tidak lah dibakar seperti biasa. Beliau menurut wasiatnya dimakamkan di puncak timur Gunung Kouya. Kemudian didapati bahawa jasadnya tidak reput walaupun bertahun-tahun sudah meninggal dunia.

Lagenda mengatakan bahawa Kukai tidak lah meninggal dunia sebaliknya hanya masuk ke alam semadi yang abadi. Beliau dikatakan masih hidup di Gunung Kouya menunggu kemunculan Maitreya Buddha. Lagenda lain menyebut bahawa beliau dilahirkan semula dalam Syurga Tushita untuk menunggu kedatangan Bodhisattva Maitreya. Jadi montra Maitreya dan juga suku kata biji Siddham selalu dipaparkan bersama dengan rupa Kukaki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan