Ahad, 21 Ogos 2011

Perayaan Obon


Lilin dalam tanglung yang dinyalakan oleh sukarelawan Jepun sepanjang sungai Sasebo semasa perayaan Obon.

Obon お盆 atau Bon 盆 merupakan adat istiadat penganut Buddha di Jepun yang menghormati roh si mati atau nenek moyang mereka. Ada ini kemudiannya berubah menjadi cuti untuk keluarga sama-sama berkumpul. Halnya kerana orang ramai akan pulang ke kampung halaman dan melawat tanah perkuburan untuk memberishkan kubur. Mereka juga membuat persembahan di mazbah di rumah mereka untuk nenek moyang bagi roh nenek moyang yang pulang melawat. Perayaan ini sudah dirayakan di Jepun sejak 500 tahun yang lalu serta mempunyai tarian yang dikenali sebagai Bon Odori.

Persembahan makanan kepada roh nenek moyang dalam perayaan Obon.

Perayaan ini berlangsung selama tiga hari lamanya. Ia bermula berbeza-beza tarikhnya di negara Jepun. Apabila kalendar lunar digantikan kepada kalender solar pada awal era Meiji, kawasan-kawasan tempatan di Jepun memberi tindakbalas berbeza pula menyebabkan wujudnya tiga perbezaan waktu memulakan perayaan di Jepun. Shichigatsu Bon atau perayaan Bon pada bulan Julai dirayakan menurut kalender solar sekitar 15hb di kawasan timur Jepun melibatkan wilayah Kanto serta bandar di dalamnya seperti Tokyo, Yokohama, Tohoku, dan Chugen.

Tarian Bon Odori untuk menghargai jasa nenek moyang.

Hachigatsu Bon atau Bon bulan Ogos pula beradasarkan kalender solar dirayakan pada 15hb Ogos dan selalunya yang ini lah yang biasa. Kyu Bon pula adalah kiraan tarikh menurut kalender lunar dalam bulan tujuh. Ia biasa berubah-ubah setiap tahun. Kyu Bon dirayakan di kawasan utara wilayah Kanto, Chugoku, Shikoku, dan pulau-pulau di barat daya. Tiga hari untuk perayaan ini tidak tersenarai dalam cuti umum namun sudah menjadi adat orang ramai akan diberikan cuti.

Asal-Usul

Kata Obon ini merupakan singkatan kepada perkataan 盂蘭盆會 Urabon'e. Perkataan ini adalah perkataan bahasa Sanskrit yang membawa maksud tergantung terbalik dengan gambaran bahawa seksaan berat dihadapi oleh sesuatu. Penganut Buddha percaya bahawa mereka patut berusaha meringankan penderitaan Urabon'e.

Perayaan ini berasal dari kisah 目犍連 Mokuren atau nama Sanskritnya Mahamodgalyayana. Beliau ini merupakan seorang pengikut Buddha selain dari Sariputra. Beliau menggunakan kuasa kerohaniannya untuk melihat keadaan ibunya yang sudah meninggal dunia. Beliau mendapati bahawa ibunya itu terjatuh dalam jurang dunia bawah menjadi hantu lapar. Ia sentiasa berada dalam keadaan lapar.

Mokuren berasa terganggu melihat keadaan ini dan simpati. Dia mendapatkan Buddha dan bertanya apakah caranya untuk membebaskan ibunya dari alam tersebut? Buddha mengarahkannya supaya membuat sembahan kepada 500 orang sami Buddha yang baru sahaja selesai melaksanakan pertapaan musim panas mereka dalam hari ke-15 bulan ketujuh kalendar lunar. Mokuren melakukannya dan melihat ibunya dibebaskan. Mokuren juga dapat melihat sifat sebenarnya ibunya pada kehidupan sebelum ini. Ia seorang yang tidak mementingkan diri dan banyak berkorban untuk Mokuren. Oleh kerana gembira dengan pembebasan ibunya dan rasa berterima kasih kepada kebaikan ibunya terhadapnya, beliau terus bangun menari. Dari tarian ini dikatakan Bon Odori diasaskan. Ia ditarikan ketika mengingati dan menghargai jasa baik nenek moyang.

Obon selalunya dirayakan dalam musim panas. Peserta tarian akan memakai yukata atau kimono ringan diperbuat dari kain kapas. Dalam perayaan Obon, akan ada juga karnival besar dengan permainan dan makanan musim panas seperti buah tembikai. Perayaan ini akan tamat dengan Toro Nagashi atau tanglung hanyut. Tanglung akan dinyalakan dan dihanyutkan di sungai menandakan bahawa roh nenek moyang akan pulang ke dunia bawah. Upacara ini juga akan disertai dengan dentuman bunga api.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan