Kubu mesingan (MG) di pantai digunakan dengan berkesan terhadap tentera Jepun yang mula mendarat di pantai dan membunuh ramai askar Jepun termasuk komander batalionnya, Mejar Nakamura, yang mengetuai orang-orangnya menyerbu kedudukan musuh. Kolonel Masanobu Tsuji menulis dalam bukunya mengenai Kempen Tanah Melayu: "Kubu-kubu kecil musuh yang disediakan dengan teliti bertindak dengan ganas dan sepenuh kekuatan sehinggakan orang-orang kami terbaring di pantai, separuh dalam air, separuh di pantai, tidak dapat mengangkat kepala mereka". Tidak sehingga tentera Jepun memusatkan serangan mereka terhadap dua buah kubu kecil dan parit pertahanan sokongan yang menguasai kawasan pendaratan, barulah mereka menguasai tempat mendarat.
Dalam pertempuran secara berhadapan, tentera Jepun berjaya menumpaskan tentera India British yang bertahan kawasan penting ini. Semasa pertempuran ini berlaku, gelombang penyerang kedua tersangkut di pantai terbuka dihujani tembakan meriam British yang mengakibatkan jumlah korban yang teruk. Bagaimanapun, sebaik sahaja kubu kecil telah dimusnahkan, pasukan ini mampu bergerak ke hadapan dan membolosi kedudukan Dogra. Walaupun membuat serangan balas, kedudukan supai India tidak dapat dipertahankan lagi dan pasukan pertahanan mula berundur.
9 Disember 1941
Leftenan Penerbangan O.N. Diamond Skuadron No. 1 memilih kapal pengangkut terbesar dan mengebom junam. Menurutnya, dua butir bom 250 paun dilepaskan dalam serangan pertamanya tepat kena, dan dalam serangan kedua, baki dua butir bomnya turut mengenai pesawat tersebut sebelum pesawatnya terkena tembakan dan terbakar. Kapal itu ialah kapal pengangkut IJN Awajisan Maru (9,794 tan) yang merupakan kapal Jepun yang pertama bagi semua saiz yang ditenggelamkan dalam Perang Dunia ke-II. Skuadron No. 1 RAAF terus melakukan pengeboman. Sejumlah 17 serangan dilancarkan, mendarat, mengisi bom dan berlepas kembali sehingga 05.00 pagi. Kapal pengiring tentera Jepun melepaskan tembakan anti pesawat yang sengit, menembak jatuh sekurang-kurangnya dua pesawat Lockheed Hudson itu dan merosakkan tiga yang lain.
Salah sebuah pesawat yang rosak yang dipandu oleh Leftenan Penerbangan Leighton-Jones dilaporkan menjunam tepat ke sebuah pesawat pendarat yang berisi sarat. Walaupun menerima tembakan anti pesawat yang hebat, anggota Hudson melancarkan serangan mereka dengan penuh bersemangat. Kesemua kapal pengangkut dilaporkan dihujani peluru dengan beberapa buah terbakar. Kolonel Masanobu Tsuji, pegawai di bawah Ibu Pejabat Yamashita, menggambarkan laporan yang beliau menerima daripada Kota Bharu: "Tidak lama kemudian, pesawat musuh dalam formasi dua dan tiga mula menyerang kapal pengangkut kita, yang mulai berasap dan terbakar". Menjelang 04.30 pagi komander pengiring, bimbang dengan jumlah kerosakan yang dilakukan oleh RAAF, mengemukakan permohonan untuk berundur.
Mejar Jeneral Takumi membantah dan berjaya menegaskan bahawa beliau perlu memperkukuhkan tenteranya di pantai dan hanya pada pukul 06.00 (pagi), kedua-dua kapal pengangkut dan pengiring berundur ke utara. Awagisan Maru ditinggalkan marak terbakar dan ditakdirkan menjadi kapal Jepun pertama ditenggelamkan dalam peperangan, terlalu rosak untuk belayar. Kira-kira jam 02:00 pagi pada 8 Disember, lapangan terbang Kuantan menerima isyarat bahawa tentera Jepun cuba mendarat di Kota Bharu. Skuadron No. 8 membentukkan empat penerbangan tiga buah Hudson dengan penerbangan pertama pada jam 06.30 pagi.
Pesawat Hudson yang dikendalikan oleh Leftenen Penerbangan G. Hitchcock menyerang kapal pengangkut IJN, tetapi dilitupi asap pada 08.00 pagi disebabkan sebahagian daripadanya rosak, ditembusi empat puluh tiga butir peluru tetapi kembali ke Kuantan dengan selamat. Leftenen Penerbangan "Spud" Spurgeon dalam A16-41 mengebom kapal tetapi terpaksa mendarat hempas di Kota Bahru, akibat kerosakan pesawat Hudsonnya. Leftenen Penerbangan Russell Bell pula mengalami kerosakan hidraulik, akibat terkena peluru pada pesawat Hudson A16-81nya dan menerbang ke Seletar daripada Kota Bharu. Daripada 12 buah pesawat dalam serangan ini, lima rosak dengan satu mendarat hempas di Kota Bharu.
Jepun Mendarat
Pada masa ini, pesawat pejuang tentera Jepun yang sebelum ini sibuk melindungi pendaratan utama di Thailand, mulai sampai dan serangan lanjut oleh RAF Blenheims, terbukti sukar. Juga menjelang waktu pagi di sebalik usaha Skuadron No. 1, tentera Jepun berjaya mendaratkan pasukan penjajah mereka. Pada pukul 10:30 pagi, pasukan Jepun akhirnya tiba ke Kota Bahru.
Setibanya waktu pagi, Mejar Jeneral H. Takumi berjaya mendaratkan sejumlah tiga batalion penuh. Brigadier Key cuba menyerang balas dengan segala kekuatannya tetapi apabila gagal, beliau mulai berundur. Apabila telah menjadi jelas bahawa pada waktu siang lapangan terbang tempatan tidak dapat dipertahankan, Key, yang telah diperintahkan untuk berjuang pertempuran penafian (battle of denial ), bukannya sehingga titisan darah terakhir memohon, dan menerima kebenaran untuk berundur.
Tentera Jepun yang disokong oleh tentera yang baru mendarat, memaksa tentera India British berundur sehingga ke kawasan Kuala Lipis dan menuju ke utara untuk menawan bandar Kota Bharu pada jam 2 petang pada 9 Disember.
Kedua pihak mengalami korban yang besar semasa pertempuran. Tidak terdapat rekod korban British, tetapi pastinya besar. Rekod korban Jepun berbeza dengan banyaknya. Louis Allen menyebut sumber Jepun meletakkannya sebagai 500 orang. Daripada ini, 150 dialami oleh tentera masih dalam kapal pengangkut, sedangkan baki 350 semasa perjalanan singkat ke pantai atau semasa di pantai. Sementara itu pula, Kolonel Tsuji menulis dalam bukunya bahawa 320 orang askar Jepun terkorban serta 538 orang tercedera dalam pertempuran itu dan menggelarkan Kota Bharu sebagai "salah satu kawasan pertempuran yang paling ganas dalam Kempen Tanah Melayu".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan