Shinto juga dikenali sebagai kami no michi yang membawa maksud jalan dewa-dewi. Ia merupakan satu kepercayaan rohaniah yang asli dari Jepun dan diamalkan oleh orang Jepun zaman-berzaman. Ia merupakan satu rangkaian amalan yang diamalkan dengan bersungguh-sungguh, selain menghubungkan Jepun kini dengan Jepun purba.
Amalan Shinto pertama kalinya direkodkan dan dikodkan dalam rekod penulisan sejarah yang dikenali sebagai Kojiki dan Nihon Shiki sekitar abad ke-7 dan ke-8 M. Namun begitu, penulisan Jepun awal tidaklah merujuk kepada kepercayaan orang Jepun ini sebagai sesuatu yang konkrit sebaliknya sebagai mitos, sejarah, dan lagenda yang bertebaran di merata-rata Jepun.
Shinto hari ini merupakan istilah yang terpakai bagi tokong awam yang dibangunkan bagi pelbagai fungsi misalnya sebagai memorial sejarah, untuk perayaan menuai, cinta kasih, tugu sejarah dan juga untuk pertubuhan mazhab di Jepun. Pengamal Shinto mempamerkan kepercayaan yang pelbagai melalui bahasa yang seragam dan amalan yang serupa. Mereka berpakaian serupa dari segi gayanya dan mengamalkan upacara yang berasal dari zaman Nara dan zaman Heian.
Perkataan Shinto ini diambil dari tulisan Cina 神道 shentao dengan dua tulisan ideogram membentuk perkataan Sino-Jepun ini. 神 shin sama maksudnya dengan kami iaitu dewa, manakala 道 do bermaksud jalan falsafah atau pengajian. Kami pula ditakrifkan dalam bahasa Melayu sebagai roh, semangat, pati, atau kedewataan yang dikaitkan dengan kefahaman orang ramai. Dalam kata lain roh-roh ini berupa seperti manusia, dan bersifat sebagai manusia serta boleh bergerak ke sana ke mari. Ada juga jenis roh yang dikaitkan dengan kuasa alam dan abstrak seperti gunung, petir, angin, ombak, pokok, dan batuan. Kami dan manusia tidaklah terpisah. Kedua-duanya wujud dalam dunia yang sama dan berkongsi saling perkaitan yang sukar untuk dijelaskan.
Kini, terdapat lebih kurang 119 juta orang pengamal Shinto di seluruh Jepun. Walaupun orang perseorangan yang mengamalkan sebarang upacara Shinto pun, tetap boleh dikira sebagai pengamal Shinto. Kebanyakan orang Jepun yang mengambil bahagian dalam upacara Shinto juga mengamalkan pemujaan nenek moyang berasaskan ajaran Buddha.
Walau bagaimanapun, pengamalan Shinto tidaklah seperti pengamalan ajaran ketauhidan yang memerlukan pengakuan iman bagi pengamal atau orang yang beriman dengannya. Jadi, di Jepun sukarlah hendak dipastikan yang mana satu yang mengamalkan amalan Shinto atau tidak.
Oleh kerana wujud persenyawaan antara agama Shinto dan ajaran Buddha, kebanyakan upacara berkaitan dengan kehidupan diuruskan menurut jalan Shinto manakala upacara kematian menurut ajaran Buddha. Contohnya, pendaftaran kelahiran di Jepun akan dijalankan menurut upacara Shinto di tokong Shinto manakala upacara pengebumian pula akan dijalankan menurut tradisi ajaran Buddha.